Friday 17 February 2012

Segalanya bermula-Rawatan demi rawatan.

Perkembangan terbaru mengenai rawatan An-Nur di Hospital Erkang.

Rawatan permulaan bermula pada 16hb Februari 2012 ialah rawatan yang tidak terlalu keras untuk An-Nur. Dimulakan dengan rawatan akupunktur dan herba.

Sasaran awal ialah untuk mengembalikan tenaganya dan berat badan An-Nur.

Tumpuan utama juga ialah untuk merangsang semula otak, deria rasa dan penzahiran emosi. Selepas semua itu tercapai barulah terapi dilakukan kerana khuatir tulangnya akan patah.


Gadis ceria berbaju merah ini adalah remaja Spastik berumur 18 tahun sedang menjalani rawatan akupunktur.  Di kepalanya penuh dengan jarum. Di sebelahnya ada doktornya. An-Nur dipangku oleh Baba, Mohd Afandi.


Klinik Akupunktur dengan kelengkapannya. Tempat An-Nur mendapatkan rawatan.


Ini pula anak manis kesayangan semua, An-Nur sedang menyedut herba atau dalam bahasa Mandarinnya 'Uu-Hua'

Wednesday 15 February 2012

Khabar dari Hospital Erkang Beijing. Hari Pertama.


An-Nur dan Mama, Raja Rohaisham sebaik tiba di Lapangan Terbang Beijing.

Suhu di bawah paras -5 darjah, bawah paras beku. Berbalut tebal kedua mereka, dari suhu panas di Malaysia ke suhu sejuk di sana. Tidak mengapa demi mengejar sebuah impian.


An-Nur diperiksa oleh sekumpulan doktor dan ahli fisioterapi. Awalnya, pemeriksaan menyeluruh dijalankan ke atas An-Nur seperti mengambil darah, X-Ray, memeriksa jantung dengan ultrasound. Butir-butir dicatatkan untuk membuat rumusan dan memutuskan bentuk program rawatan yang akan dijalankan ke atas An-Nur.


Gambar Baba An-Nur Mohd Afandi berlatarbelakangkan Hospital Erkang. Kediaman mereka seperti sebuah apartment satu bilik di belakang hospital ini.
Sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang dijemput oleh kakitangan Hospital dan dibawa terus ke bilik untuk berehat.  Doktor akan datang ke bilik untuk melihat keadaan An-Nur.


Hospital Erkang. Tempat di mana An-Nur bakal melalui sesi rawatan dan sesi  fisioterapi dan pemulihan intensif di sini. Maklumat lanjut mengenai program ini boleh di dapati dari http://www.hfind.net/ .


Keluarga An-Nur bergambar dengan Puan Anna dan suaminya En Zack yang bekerja di Kedutaan di Beijing. Puan Anna telah menghubungi Admin Hope2walk di sebelah paginya dan di waktu petang telah menziarahi keluarga An-Nur di bilik mereka. Pasangan ini akan membantu mendapatkan beberapa keperluan keluarga An-Nur.

Alhamdulillah, nampaknya segala urusan mereka di sana telah dipermudahkan.

Terima kasih kepada semua yang telah menyumbang dan membantu dengan pelbagai cara.

Sunday 29 January 2012

BONANZA AMAL HOPE 2 WALK


Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama IKIM.FM & Jabatan Muzium Malaysia akan menganjurkan program amal istimewa iaitu ‘Bonanza Amal Hope To Walk’. Program ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu mengisi tabung dana perubatan buat adik An-Nur yang menghidapi penyakit cerebral palsy (lumpuh otak).

Prorgam amal “Hope to Walk” ini di adakan atas kesedaran bahawa penyakit ini adalah satu penyakit kebas saraf di bahagian otak yang menjadi penyebab perkembangan kanak-kanak tidak berfungsi. Namun dengan sistem sokongan dan latihan fisioterapi serta beberapa proses pemulihan, kecacatan akan dapat dipulihkan atau dikurangkan dan pesakit akan dapat meneruskan hidup dengan lebih baik.

“Adik An-Nur telah menghidapi celebral palsy sejak dari dalam kandungan sehingga sekarang berusia lapan tahun, dan program ini adalah bertujuan untuk mengumpulkan dana perubatannya ke Beijing, China. Kos keseluruhan rawatannya pula mencecah sehingga RM 500,000.

Melalui program yang istimewa ini, pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, barang perhiasan, buku-buku dan lain-lain peralatan telah dijual pada harga serendah RM2. Kesemua barangan yang dijual ini telah disaring oleh para sukarelawan Islamic Aid Malaysia. Turut diadakan adalah persembahan artis tempatan, jualan pelbagai produk dan juga pelbagai aktiviti turut diadakan serta penampilan istimewa penyampai IKIMfm serta demonstrasi masakan . Program santai sambil beramal ini selain untuk mengumupul dana bagi membantu adik An-Nur mendapatkan rawatan, juga untuk mengeratkan lagi hubungan diantara sukarelawan pertubuhan dan mewujudkan sifat keprihatian dan bantu membantu sesama manusia.

Lanjutan daripada itu, bagi merealisasikan misi kemanusiaan ini, pihak pertubuhan amat mengalu-alukan sokongan dan bantuan orang ramai dalam menjayakan misi ini. Sebarang bantuan atau sumbangan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Islamic Aid Malaysia di www.iam.org.my atau menghubungi kami di talian 03-89485939 . Keprihatinan dan sokongan anda amat bermakna buat kami.

Saturday 14 January 2012

Aktiviti Hope2walk Kota Damansara

Kami di Hope2walk mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas usaha kawan-kawan dan saudara mara di luar sana yang tidak pernah jemu membantu. Gigih memikirkan tentang cara untuk membantu dan mencukupkan jumlah yang diperlukan bagi memastikan impian ini tercapai.



Terima kasih kepada Tim Hope2walk di Kota Damansara yang dipelopori oleh En Hasan Suyut yang begitu menghayati perjuangan ini. Bersekali dengan anak-anak dan sahabat kepada anak-anak. Kutipan yang dijalankan selam seminggu di Masjid Kota Damansara.

Terima kasih, terima kasih....

Wednesday 4 January 2012

Hope2Walk raih perhatian masyarakat[Harakahdaily]

PETALING JAYA, 4 Jan: Kempen Hope 2 Walk yang dilancarkan kira-kira sebulan lalu tetap diteruskan dan mendapat perhatian masyarakat meskipun Annisa Mohd Affandi, 10 tahun telah meninggal dunia pada 22 Disember lalu sebelum sempat dana untuk membiayai rawatannya mencukupi.

Kempen tersebut diteruskan bagi mendapatkan sumbangan orang ramai bagi membiayai rawatan untuk adik kepada Annisa, An-Nur, 8 tahun yang turut mengidap kecacatan Cerebral Palsy seperti kakaknya.

Annur memerlukan dana berjumlah kira-kira RM500,000 untuk membolehkan beliau mendapat rawatan di Hopital Erkang, Beijing, China, kaedah rawatan yang tidak terdapat di negara ini.

Bagaimanapun menurut Affandi, jumlah dana yang dilancarkan kira-kira sebulan lalu masih jauh dari jumlah yang disasarkan bagi membolehkan An-Nur diterbangkan ke China.

"Sambutan masyarakat termasuk beberapa badan bukan kerajaan memang memuaskan, kira-kira sebulan program ini dilancarkan sehingga kini kutipan baru menghampiri seratus ribu, masih terlalu jauh untuk mencapai sasaran lima ratus ribu.

"Selain sumbangan yang datang dari individu, ada beberapa NGO yang turut sama menghulurkan sumbangan dan saya amat berterima kasih kepada semua," beritahu beliau kepada Harakahdaily.

Affandi juga memberitahu program Hope2Walk ini akan diteruskan walaupun setelah dana yang diperlukan untuk membiayai rawatan An-Nur telah mencukupi nanti bagi membantu kanak-kanak lain yang senasib.

"Insyaallah, bila An-Nur dapat diterbangkan ke China, Hope 2 Walk ini akan diteruskan bagi membantu anak-anak lain yang senasib dengan Annisa dan An-Nur.

"Annisa dan An-Nur adalah perintis bagi memberi peluang dan harapan kepada kanak-kanak lain juga, bukan milik kami," ujar beliau.    

Menurut beliau lagi, masyarakat harus memandang isu ini sebagai satu perjuangan untuk semua, bukannya perjuangan untuk Annisa, An-Nur dan keluarganya sahaja.

"Ini adalah perjuangan bersama, perjuangan semua lapisan masyarakat negara ini membuktikan keprihatinan dalam mewujudkan masyarakat yang penyayang yang tidak hanya mengejar duniawi sahaja.

"Banyak atau sedikti jumlah yang kita sumbangkan bukanlah persoalannya, tetapi keikhlasan kita untuk menyertai perjuangan ini dengan turut sama menyumbang walaupun satu ringgit.
"Orang ramai boleh membuat sumbangan melalui akaun Maybank saya bernombor 1561 1400 1424 atau akaun Bank Islam anak saya, Annisa Mohd Affandi bernombor 14-229-02-001975-2," kata beliau lagi.
(Afandi dan isteri bersama kedua-dua anak mereka. Kini Annisa sudah pergi, yang menunggu belanja rawatan adalah adiknya, An-Nur)Sementara itu, orang ramai yang ditemui di dalam program Mini  Konsert Amal Seribu Harapan An-Nur dan Annisa yang diadakan di Dewan Orang Ramai, Apartmen Harmoni, Damansara Damai turut menyatakan sokongan terhadap program tersebut.

Jangan pilih bulu membantu


Suri rumah, Normariah Saleh, 34 tahun menyatakan kes yang menimpa seorang kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum sempat menjalani pembedahan kerana ibu bapanya tidak mempunyai wang yang mencukupi beberapa tahun lalu haruslah dielakkan.

"Saya teringat beberapa tahun lalu, seorang kanak-kanak meninggal dunia apabila tabung yang dilancarkan untuk menampung kos pembedahan tidak mendapat sambutan yang baik dari masyarakat kita.

"Hairannya, pada masa yang sama tabung bantuan untuk selebriti cepat pulak penuh.

"Memang betul, selebriti pun patut diberi perhatian, dibantu sekiranya mereka memerlukan, tetapi ianya membuatkan saya tertanya-tanya adakah masyarakat kita punyai sikap memilih orang-orang terkenal sahaja untuk membantu.

"Kita dapat lihat di pentas tadi, ada pihak dari Gereja yang turut sama memberikan sumbangan untuk tabung Hope 2 Walk, sikap yang wajar kita contohi iaitu membantu tanpa mengira ugama dan bangsa.

"Kita baru sahaja kehilangan kakaknya, Annisa sebelum sempat beliau mendapat rawatan, kita tidak mampu untuk kehilangan si adiknya pula An-Nur," beritahu beliau.

Naimullah, lepasan institusi pengajian tinggi pula menyatakan,  semua lapisan masyarakat perlu lebih perihatin dengan isu-isu seperti ini.

"Kita kena perihatin dengan isu seperti ini dengan membantu golongan yang memerlukan tak kisahlah walaupun sedikit.

"Apatah lagi dalam zaman yang kos sara makin tinggi, memang bukan semua orang mampu memberi sumbangan yang besar, tetapi dengan pengorbanan seringgit kita itulah dapat memberikan seribu harapan kepada kanak-kanak seperti An-Nur ini," katanya.

Baru-baru Konsert Amal Seribu Harapan An-Nur dan Annisa yang dianjurkan oleh Seni Suri Jawi dan Hope 2 Walk telah mendapat sambutan meriah di Damansara Damai.

Jelajah tersebut juga akan diteruskan di lokasi-lokasi lain di seluruh negara bagi memenuhi dana yang diperlukan bagi menampung kos rawatan untuk An-Nur.

Kempen Hope 2 Walk ini turut mendapat perhatian beberapa media massa termasuk sokongan meluas di laman sosial seperti facebook, twitter dan blog.

Kempen ini turut mengundang keprihatinan pemain bola sepak negara yang juga kapten pasukan Pelita Jaya di Indonesia, Safee Sali yang diangkat sebagai duta kempen Hope 2 Walk.

Orang ramai yang ingin turut menghulurkan sumbangan, mereka boleh menyalurkan ke akaun Maybank atas nama Mohd Affandi Ramli (1561 1400 1424) atau Bank Islam atas nama Annisa Mohd Affandi (14-229-02-001975-2) atau hubungi sukarelawan Nashita Md Noor di talian             013 209 6373 begin_of_the_skype_highlighting            013 209 6373      end_of_the_skype_highlighting      .

Friday 30 December 2011

Liputan Kempen Hope2walk di Media.

Kempen Hope2walk telah mendapat tempat di beberapa media massa. Terima kasih pada Majalah Mingguan Wanita, Akhbar Sinar Harian, TV3 dan TV 9. Moga kempen ini mendapat tempat di hati ramai wakyat Malaysia jua di serata tempat. 

Terkini muncul di Mingguan Wanita keluaran 30 Dis-5 Januari. Mukasurat  132-133. Dapatkan segera.


Muncul di Akhbar Sinar harian


Muncul dalam Slot Nasi Lemak Kopi O TV9

Akhir sekali muncul di Rancangan MHI jam 7.30 pagi 22 Disember dan pada jam 8.50 pagi Annisa menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari yang sama....

Thursday 29 December 2011

"Dia dicipta Allah untuk anda berbuat pahala."